Thursday, March 12, 2009

Matu ke Sibu via Daro

Hari ini merupakan pengalaman pertama saya pergi ke Sibu dari Matu melalui Daro menggunakan bot ekspres. Perjalanan darat dari Matu ke Daro yang memakan masa selama 15 minit sudah rutin bagi saya kerana itulah juga jalan yang saya lalui untuk balik ke Sri Aman melalui Sarikei.

Namun hari ini, haluannya adalah Sibu untuk tugas rasmi. Bot ekspres dari Daro berangkat tepat jam 12.30 tengahari, dengan penumpang yang separuh penuh. Gah dengan nama Begawan Laju, bot ekspres ini mungkin pernah 'berkhidmat' di Brunei.

Bahagian dalamnya masih elok walaupun kelihatan agak 'berusia'. Maklumlah era kegemilangan bot ekspres di Sarawak adalah sekitar tahun 80'an sebelum diambilalih oleh botlaju di kebanyakan destinasi. Walaupun demikian, bot ekspres masih merupakan pengangkutan utama bagi penduduk sekitar Daerah Matu dan Daro untuk ke Sarikei ataupun Sibu.

Aspek keselamatan turut diberi perhatian oleh pihak operator bot. Deretan jaket keselamatan jelas tergantung di sepanjang kabin. Begitulah seeloknya, biar nampak 'berusia' tetapi lengkap dari segi keperluan diri - dimasa senang dan juga dimasa susah!

Bandar Sibu mula kelihatan 2 jam setengah kemudian. Kira-kira jam 3 petang, Begawan Laju berlabuh di antara 'rakan-rakannya' di pengkalan Sibu. Satu perjalanan yang diselang seli dengan tidur-tidur ayam.

Unik, bangunan tua pek kong di tebingan Sibu ialah yang paling menyerlah bagi pengunjung yang menggunakan bot ekspres ataupun botlaju.

Setelah selesai dengan urusan penginapan dan mengisi perut, tidak lengkap perjalanan di Sibu kalau tidak mengunjungi Pasar Malamnya yang sentiasa dipenuhi pengunjung. Pelbagai barang, pakaian dan juadah disediakan seawal jam 6 petang. Pasar Malam ini, yang sudah wujud sejak sekian lama menggambarkan satu tekad dan ketekunan manusia untuk terus berusaha.

Dalam saya memberi perhatian kepada catatan ini, irama muzik dari Bamboo House Lounge di tingkat atas seolah-olah mahu mengalih tumpuan saya. Tetapi tugas perlu bermula seawal jam 8 pagi esok, jadi biarlah muzik itu menjadi hiburan telinga sahaja kerana mata perlu berehat untuk hari yang baru.

Selamat malam ...

No comments:

Post a Comment