Wednesday, January 6, 2010

Tahun Baru - Apa Yang Baru?

Tahun Baru 2010 sudah memasuki hari ke 6 dalam minggu pertama ini. Agaknya kemeriahan sambutan detik 0000 tengah malam Tahun Baru juga mungkin masih segar dalam ingatan kita semua (kalau kita meraikannya). Semuanya gembira, semuanya berpesta untuk menyambut ketibaan Tahun Baru 2010, meninggalkan Tahun Lama 2009 yang bersendirian memasuki lipatan sejarah. Kenapa tiada Majlis Jasamu Dikenang untuk Tahun Lama yang ditinggalkan? Tidakkah kita perlu berterima kasih, tidakkah kita perlu bersyukur kerana Tahun Lama 2009 telah menghadiahkan Tahun Baru 2010 kepada kita? Mungkin kita terlupa.

Walau apapun, detik keramat 0000 sudah berlalu dan perjalanan Tahun Baru 2010 perlu diteruskan. Perjalanan untuk 12 bulan yang akan datang. Tetapi ke mana? Ketibaan Tahun Baru sudah diraikan dengan cara masing-masing. Ada yang menetapkan azam baru, ada pula yang sekadar baju baru atau imej baru atau hobi baru atau apa-apa sajalah yang baru. Semuanya bertekad untuk menjadi lebih baik dari tahun yang lalu. LEBIH BAIK dari BAIK untuk menjadi yang TERBAIK walaupun kadang-kadang ada yang TERBALIK.


Apakah sebenarnya yang baru di Tahun Baru ini? Terpulang kepada diri sendiri. Namun kita sering terperangkap dengan keghairahan untuk membentuk sesuatu yang baru, kononnya mesti BESAR, SIGNIFIKAN, TIDAK REMEH dan akhirnya kita kecundang. Kita malu untuk memikirkan sesuatu yang kecil dan remeh. Namun sesuatu yang baru seharusnya bermula kecil dan remeh bagaikan memulakan perjalanan dengan sebuah kereta. Bermula dengan gear satu, lepaskan brek tangan, pasangkan tali pinggang keselamatan, pandang cermin belakang, pandang cermin sisi, pasang aircon dan lampu isyarat sisi. Namun itulah keperluannya untuk membolehkan kita memulakan perjalanan dengan selamat.


Jadi apa yang baru di Tahun Baru? BESAR, kecil? Tepuk dada, tanya selera. Apa yang kita mahu, itulah yang kita akan dapat.


Tuesday, July 21, 2009

Songket Kampung Rajang

Tidak ramai yang mengetahuinya. Bahkan tidak ramai yang pernah mendengarnya. Pusat Tenunan Songket Kampung Rajang di Daerah Kecil Belawai dalam Daerah Daro, Bahagian Mukah sudah beroperasi sejak tahun 1991. Industri yang diusahakan oleh Kumpulan Tenun Kpg Rajang ini diketuai oleh Puan Hjh. Sa'anah bt Hj Suhaili.

Bermula dengan tenunan di rumah kampung secara kecil-kecilan sehinggalah kini beroperasi di dua buah bangunan yang amat selesa. Pusat Tenunan Songket Kpg Rajang kini mempunyai 22 buah 'rumah' (istilah untuk kerangka menenun) di dalam dua buah bangunan yang dimiliki sekarang. Setiap helai songket berukuran 2 - 2.5 meter memerlukan masa selama kira-kira satu bulan untuk disiapkan.


Bangunan utama Pusat Tenunan Songket Kpg Rajang di samping sebuah lagi bangunan di sebelahnya.

Sebahagian daripada 'rumah' di bangunan utama.

Hanya jari pakar yang maha mengetahui untuk mencorakkan bunga yang cantik

Kombinasi kerja tangan dan kaki menghasilkan kain songket yang cantik

Antara produk sampingan daripada kain songket, sesuai dijadikan sebagai cenderamata

Ruang tenunan yang selesa

Timbalan Residen (Pembangunan) Bahagian Mukah, Encik Mohd. Junaidi 'terpikat' dengan pilihannya

Tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan salah seorang penenun, makcilk yang sangat ceria orangnya.

Antara pelawat luar negara yang pernah datang ke Pusat Tenunan ini diabadikan dalam Buku Pelawat ini.

Bagi anda yang berminat, pusat tenunan ini boleh dihubungi di alamat berikut, terutamanya untuk urusan tempahan dan maklumat harga.

Pusat Tenunan Songket Kampung Rajang,
Kampung Rajang,
96150 Belawai,
Mukah, Sarawak.

Tel: 084-612246 / 612322

Wednesday, July 15, 2009

'Treasure The MANGROVES'

Program Penanaman Pokok Bakau Dan Spesis-Spesis Yang Sesuai Di Persisiran Pantai Negara telah diadakan di Pantai Kampung Kuala Oya, Dalat pada 11 Julai 2009 yang lalu, melibatkan penduduk kampung dan pelajar-pelajar sekolah yang berdekatan. Program anjuran Jabatan Hutan Sarawak itu telah dirasmikan oleh Residen Bahagian Mukah, Tuan Haji Saudi bin Haji Narani.

Antara objektif program berkenaan ialah :

a) Menjadikan kawasan persisiran pantai supaya lebih stabil sebagai lapisan lindungan semulajadi dari ancaman ombak besar;

b) Mewujudkan satu kawasan "zon penampan" yang kukuh dan stabil untuk mengimbangi program-program pembangunan kawasan pantai; dan

c) Mewujudkan satu kawasan (ekosistem) persisiran pantai yang akan menjadi koridor habitat penting kepada kepelbagaian hidupan semulajadi.

Sebanyak 500 anak pokok rhu laut telah ditanam di sepanjang pantai Kampung Kuala Oya sempena majlis berkenaan. Di samping penanaman pokok, pihak penganjur telah turut mengadakan pertandingan melukis dan kuiz untuk pelajar-pelajar sekolah bagi mempertingkatkan kesedaran tentang program berkenaan, sesuai dengan slogannya 'Treasure The MANGROVES'.

Residen Bahagian Mukah, Tuan Hj Saudi (tengah) bersama Encik Abdul Kadir Bujang, wakil Pengarah Hutan Sarawak, Cr. Jezeri Kipli, Timbalan Walikota MDDM dan Ketua-Ketua Masyarakat setempat

Antara Ketua Jabatan dan jemputan yang hadir pada majlis berkenaan

Salah seorang wakil peserta menerima cenderamata daripada Tuan Hj Saudi

Program penanaman pokok dimulakan oleh Tuan Hj Saudi

Kawasan ini bakal dihiasi oleh pokok-pokok rhu yang akan mewujudkan suasana menarik untuk tujuan rekreasi

Para peserta bergambar beramai-ramai bersama
Residen Bahagian Mukah, Tuan Hj Saudi Hj Narani

Di samping usaha menghijaukan bumi, sempat mengeratkan hubungan persahabatan. Bersama Pegawai Daerah Dalat, Encik Yussibnosh Balo dan rakan-rakan lama dari Jabatan Hutan, Encik Abdul Kadir Bujang dan Encik Baleng Mos

Semoga pengalaman lalu akan menjadi pengajaran kepada kita untuk tidak mengulanginya di masa hadapan. Kita dianugerahkan sebuah bumi untuk dipusakai ke generasi seterusnya, maka bersama-samalah kita memeliharanya agar ia akan terus menjadi pusaka yang berharga.