Wednesday, January 6, 2010

Tahun Baru - Apa Yang Baru?

Tahun Baru 2010 sudah memasuki hari ke 6 dalam minggu pertama ini. Agaknya kemeriahan sambutan detik 0000 tengah malam Tahun Baru juga mungkin masih segar dalam ingatan kita semua (kalau kita meraikannya). Semuanya gembira, semuanya berpesta untuk menyambut ketibaan Tahun Baru 2010, meninggalkan Tahun Lama 2009 yang bersendirian memasuki lipatan sejarah. Kenapa tiada Majlis Jasamu Dikenang untuk Tahun Lama yang ditinggalkan? Tidakkah kita perlu berterima kasih, tidakkah kita perlu bersyukur kerana Tahun Lama 2009 telah menghadiahkan Tahun Baru 2010 kepada kita? Mungkin kita terlupa.

Walau apapun, detik keramat 0000 sudah berlalu dan perjalanan Tahun Baru 2010 perlu diteruskan. Perjalanan untuk 12 bulan yang akan datang. Tetapi ke mana? Ketibaan Tahun Baru sudah diraikan dengan cara masing-masing. Ada yang menetapkan azam baru, ada pula yang sekadar baju baru atau imej baru atau hobi baru atau apa-apa sajalah yang baru. Semuanya bertekad untuk menjadi lebih baik dari tahun yang lalu. LEBIH BAIK dari BAIK untuk menjadi yang TERBAIK walaupun kadang-kadang ada yang TERBALIK.


Apakah sebenarnya yang baru di Tahun Baru ini? Terpulang kepada diri sendiri. Namun kita sering terperangkap dengan keghairahan untuk membentuk sesuatu yang baru, kononnya mesti BESAR, SIGNIFIKAN, TIDAK REMEH dan akhirnya kita kecundang. Kita malu untuk memikirkan sesuatu yang kecil dan remeh. Namun sesuatu yang baru seharusnya bermula kecil dan remeh bagaikan memulakan perjalanan dengan sebuah kereta. Bermula dengan gear satu, lepaskan brek tangan, pasangkan tali pinggang keselamatan, pandang cermin belakang, pandang cermin sisi, pasang aircon dan lampu isyarat sisi. Namun itulah keperluannya untuk membolehkan kita memulakan perjalanan dengan selamat.


Jadi apa yang baru di Tahun Baru? BESAR, kecil? Tepuk dada, tanya selera. Apa yang kita mahu, itulah yang kita akan dapat.


1 comment: