Tuesday, July 21, 2009

Songket Kampung Rajang

Tidak ramai yang mengetahuinya. Bahkan tidak ramai yang pernah mendengarnya. Pusat Tenunan Songket Kampung Rajang di Daerah Kecil Belawai dalam Daerah Daro, Bahagian Mukah sudah beroperasi sejak tahun 1991. Industri yang diusahakan oleh Kumpulan Tenun Kpg Rajang ini diketuai oleh Puan Hjh. Sa'anah bt Hj Suhaili.

Bermula dengan tenunan di rumah kampung secara kecil-kecilan sehinggalah kini beroperasi di dua buah bangunan yang amat selesa. Pusat Tenunan Songket Kpg Rajang kini mempunyai 22 buah 'rumah' (istilah untuk kerangka menenun) di dalam dua buah bangunan yang dimiliki sekarang. Setiap helai songket berukuran 2 - 2.5 meter memerlukan masa selama kira-kira satu bulan untuk disiapkan.


Bangunan utama Pusat Tenunan Songket Kpg Rajang di samping sebuah lagi bangunan di sebelahnya.

Sebahagian daripada 'rumah' di bangunan utama.

Hanya jari pakar yang maha mengetahui untuk mencorakkan bunga yang cantik

Kombinasi kerja tangan dan kaki menghasilkan kain songket yang cantik

Antara produk sampingan daripada kain songket, sesuai dijadikan sebagai cenderamata

Ruang tenunan yang selesa

Timbalan Residen (Pembangunan) Bahagian Mukah, Encik Mohd. Junaidi 'terpikat' dengan pilihannya

Tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan salah seorang penenun, makcilk yang sangat ceria orangnya.

Antara pelawat luar negara yang pernah datang ke Pusat Tenunan ini diabadikan dalam Buku Pelawat ini.

Bagi anda yang berminat, pusat tenunan ini boleh dihubungi di alamat berikut, terutamanya untuk urusan tempahan dan maklumat harga.

Pusat Tenunan Songket Kampung Rajang,
Kampung Rajang,
96150 Belawai,
Mukah, Sarawak.

Tel: 084-612246 / 612322

Wednesday, July 15, 2009

'Treasure The MANGROVES'

Program Penanaman Pokok Bakau Dan Spesis-Spesis Yang Sesuai Di Persisiran Pantai Negara telah diadakan di Pantai Kampung Kuala Oya, Dalat pada 11 Julai 2009 yang lalu, melibatkan penduduk kampung dan pelajar-pelajar sekolah yang berdekatan. Program anjuran Jabatan Hutan Sarawak itu telah dirasmikan oleh Residen Bahagian Mukah, Tuan Haji Saudi bin Haji Narani.

Antara objektif program berkenaan ialah :

a) Menjadikan kawasan persisiran pantai supaya lebih stabil sebagai lapisan lindungan semulajadi dari ancaman ombak besar;

b) Mewujudkan satu kawasan "zon penampan" yang kukuh dan stabil untuk mengimbangi program-program pembangunan kawasan pantai; dan

c) Mewujudkan satu kawasan (ekosistem) persisiran pantai yang akan menjadi koridor habitat penting kepada kepelbagaian hidupan semulajadi.

Sebanyak 500 anak pokok rhu laut telah ditanam di sepanjang pantai Kampung Kuala Oya sempena majlis berkenaan. Di samping penanaman pokok, pihak penganjur telah turut mengadakan pertandingan melukis dan kuiz untuk pelajar-pelajar sekolah bagi mempertingkatkan kesedaran tentang program berkenaan, sesuai dengan slogannya 'Treasure The MANGROVES'.

Residen Bahagian Mukah, Tuan Hj Saudi (tengah) bersama Encik Abdul Kadir Bujang, wakil Pengarah Hutan Sarawak, Cr. Jezeri Kipli, Timbalan Walikota MDDM dan Ketua-Ketua Masyarakat setempat

Antara Ketua Jabatan dan jemputan yang hadir pada majlis berkenaan

Salah seorang wakil peserta menerima cenderamata daripada Tuan Hj Saudi

Program penanaman pokok dimulakan oleh Tuan Hj Saudi

Kawasan ini bakal dihiasi oleh pokok-pokok rhu yang akan mewujudkan suasana menarik untuk tujuan rekreasi

Para peserta bergambar beramai-ramai bersama
Residen Bahagian Mukah, Tuan Hj Saudi Hj Narani

Di samping usaha menghijaukan bumi, sempat mengeratkan hubungan persahabatan. Bersama Pegawai Daerah Dalat, Encik Yussibnosh Balo dan rakan-rakan lama dari Jabatan Hutan, Encik Abdul Kadir Bujang dan Encik Baleng Mos

Semoga pengalaman lalu akan menjadi pengajaran kepada kita untuk tidak mengulanginya di masa hadapan. Kita dianugerahkan sebuah bumi untuk dipusakai ke generasi seterusnya, maka bersama-samalah kita memeliharanya agar ia akan terus menjadi pusaka yang berharga.

Monday, June 29, 2009

Majlis Pelancaran Logo 'An Honour To Serve' & 'One Government At Your Service' Peringkat Bahagian Mukah

Majlis Pelancaran Logo 'An Honour To Serve' dan 'One Government At Your Service' Peringkat Bahagian Mukah telah diadakan pada 25 Jun 2009 yang lalu bertempat di Dewan Suarah Mesra Mukah. Upacara pelancaran kedua-dua logo berkenaan telah disempurnakan oleh YB Datin Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia & Latihan) dan Menteri Muda Pertanian (Ekonomi Rumahtangga & Latihan) yang juga ADUN N.50 Dalat.

Serentak dengan pelancaran logo berkenaan, beberapa agensi Kerajaan / Badan Berkanun telah turut membuka kaunter perkhidmatan di Dewan Suarah Mesra Mukah bagi memberikan perkhidmatan kepada para pengunjung yang datang ke majlis tersebut.

Antara tetamu yang hadir

YB Datin Hajah Fatimah menyempurnakan gimik pelancaran

Logo 'An Honour To Serve' & 'One Government At Your Service'
lambang kesetiaan penjawat awam Negeri Sarawak


Kumpulan Koir MAKSAK Mukah turut menyerikan majlis

Perkhidmatan pemeriksaan kesihatan turut disediakan.
YB Datin Hajah Fatimah tidak melepaskan peluang untuk memeriksa kesihatannya, penting untuk jadual tugasnya yang sentiasa padat.

Antara tetamu kenamaan yang turut hadir bersama YB Datin Hajah Fatimah ialah Tuan Hj. Sarudu bin Hj. Hoklai, Tuan Hj. Saudi bin Hj. Narani, Dr. Saadiah Abdul Samat dan Walikota Ali bin Suhaili

Semoga logo dan motto 'An Honour To Serve' dan 'One Government At Your Service' akan memberi semangat dan tekad baru kepada semua penjawat awam Negeri Sarawak ke arah tanggungjawab untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik.

Thursday, June 18, 2009

Kebakaran di Rh. Aleh, Sg. Bedengan, Mukah

Residen Bahagian Mukah, Tuan Hj. Saudi bin Hj. Narani telah melawat mangsa kebakaran di Rh. Aleh, Sg. Bedengan, Mukah pada 16 Jun 2009 yang lalu. Beliau turut disertai oleh Penolong Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Mukah, Encik Wong Yuk King.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 7.30 pagi 14 Jun itu telah memusnahkan sama sekali rumah panjang 5 pintu yang didiami oleh kira-kira 20 orang penduduk. Bantuan awal berupa keperluan asas harian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diberikan sementara bantuan bahan binaan pula sedang diuruskan. Buat masa ini, mangsa yang terlibat menumpang di rumah saudara-mara yang berdekatan.

Tuan Residen, Tuan Hj. Saudi (kanan) dan Encik Wong (kiri)
bersama TR Aleh di hadapan rumah yang terbakar

Musnah ...

Lori tangki air daripada Jabatan Kerja Raya Mukah menyediakan bekalan air bersih kepada mangsa memandangkan semua tangki simpanan di rumah panjang telah musnah

TR Aleh ak. Sandai mengalami sedikit kecederaan ketika cuba hendak menyelamatkan harta benda. Selain daripada itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan .

Memandangkan cuaca kering yang berpanjangan sekarang, semua pihak perlu lebih berhati-hati dalam aktiviti harian yang melibatkan api. Malang tidak berbau - Api ketika kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi lawan.

Saturday, June 13, 2009

Kaul Kpg. Sg. Kut Muara 2009

Kaul Kpg. Sg. Kut Muara 2009 telah diadakan pada 2 Jun yang lalu, dengan perarakan 'serarang' sebagai kemuncaknya. Beberapa aktiviti sampingan telah diadakan beberapa hari sebelumnya, termasuklah Pertandingan Karaoke, Pertandingan Sayuran Hidup, Menganyam Ketupat, Memancing, Bolasepak dan beberapa lagi.

Seawalnya jam 7.00 pagi pada 2 Jun, penduduk kampung mula berkumpul di Dewan Serba Guna Kpg. Sg. Kut Muara untuk acara jamuan dam hiburan.


Tepat jam 10.00 pagi, tiga buah 'serarang' yang ditempatkan di dewan berkenaan akan dibawa ke dalam sebuah bot untuk diarak sepanjang sungai (Sg. Kut) ke arah hujung kampung di bahagian hulunya.

Bot-bot lain yang dinaiki penduduk kampung akan mengiringi bot yang membawa 'serarang' secara berkumpulan.

Penglibatan penduduk dari semua peringkat umur, biarpun di bawah panas terik matahari.

Lokasi untuk 'serarang' pertama di hujung kampung, di bahagian hulu sungai. 'Serarang' akan didirikan di bawah sebatang pokok besar yang dipanggil pokok 'baper'. Baki dua 'serarang' akan diarak semula ke bahagian hilir di sepanjang Sg. Kut menuju ke lokasi kedua.

Lokasi untuk 'serarang' kedua ialah di bahagian muara Sg. Kut. 'Serarang' akan didirikan di bawah pokok 'baper' yang lebih kecil kerana pokok besar yang asal telah mati beberapa tahun yang lalu.

'Serarang' terakhir akan diarak ke bahagian hujung kampung di hilir Batang Igan.

Seperti dua 'serarang' terdahulu, 'serarang' ini juga didirikan di bawah pokok 'baper'.

Terdapat banyak pokok 'baper' di kawasan ini pada satu ketika dulu, namun keperluan pembangunan telah menyebabkannya ditebang.

Inilah 'persembahan' di setiap lokasi 'serarang' - untuk kesejahteraan semua.

Walau apapun caranya, kepada siapapun ianya dipinta, untuk apapun tujuannya - 'KITA' tetap mempunyai peranan masing-masing. Terus berusaha (untuk yang terbaik) dan kita akan mendapat yang terbaik.

Wednesday, May 27, 2009

Terima Kasih, Tuan Haji Abdullah Jamil & Dr. Anthony Valentine Laiseh

Seluruh warga kerja Pejabat Residen Bahagian Mukah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Tuan Haji Abdullah bin Jamil, Residen Bahagian Mukah yang akan berpindah tempat bertugas ke Rumah Perhubungan Sarawak, Kuala Lumpur sebagai Pegawai Perhubungan Negeri dan Timbalan Residen, Dr. Anthony Valentine Laiseh yang turut berpindah dan akan menjadi Timbalan Residen (Sosial) di Pejabat Residen Bahagian Betong.

Tuan Haji Abdullah (kiri) telah menjadi Residen Bahagian Mukah selama 3 tahun 2 bulan sementara Dr. Anthony telah menjadi Timbalan Residen Bahagian Mukah selama 4 tahun 4 bulan.

Ampun dan maaf dipohon atas segala perilaku bahasa dan cara yang mungkin keterlanjuran, namun tiada niat untuk bertindak sengaja atau berlaku derhaka terhadap ketua.

Selamat maju jaya, semoga Tuan Haji dan Tuan Dr. sekeluarga sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki selalu.

Indah budi jadi kenangan
Jadi kenangan padamu tuan
Mukah di hati dilupa jangan
Kami di sini rindu-rinduan

Monday, May 25, 2009

Selamat Datang, Tuan Haji Saudi

YBhg. Tuan Haji Saudi bin Haji Narani telah melapor diri sebagai Residen Bahagian Mukah yang baru pada 25 Mei 2009, menggantikan YBhg. Tuan Haji Abdullah bin Jamil yang akan berpindah ke Rumah Perhubungan Sarawak, Kuala Lumpur sebagai Pegawai Perhubungan Negeri Sarawak di sana.

Turut melapor diri pada hari yang sama ialah Timbalan Residen (Pembangunan) yang baru iaitu Encik Mohamad Junaidi bin Mohidin, yang sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Daerah Meradong.

Tuan Haji Saudi (baju cerah) dan Encik Mohd. Junaidi (dua dari kiri)
bersama Tuan Haji Abdullah semasa melapor diri

Tuan Haji Saudi dan Encik Mohd. Junaidi diperkenalkan
kepada warga kerja Pejabat Residen Bahagian Mukah


Selamat datang dan selamat bertugas di Bahagian Mukah kepada YBhg. Tuan Haji Saudi dan Encik Mohd. Junaidi.

Thursday, May 21, 2009

Program Rakan Muda Wawasan Desa (RMWD) IPT 2009 di Kampung Medong

Seramai 39 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar Pusat GIATMARA Mukah telah menyertai Program Rakan Muda Wawasan Desa (RMWD) IPT 2009 yang diadakan di Kampung Medong, Dalat dari 15 - 17 Mei 2009 yang lalu.

Program anjuran bersama Pejabat Daerah Dalat dengan Pejabat Belia dan sukan Bahagian Mukah turut melibatkan penduduk setempat yang menjadi keluarga angkat kepada para peserta. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program berkenaan termasuklah Sembang Belia, Senam Seni, Gotong-royong, Sukaneka dan Malam Kebudayaan.


Majlis Penutupan dan penyerahan balik anak angkat telah dilakukan pada 17 Mei 2009 bertempat di Dewan Terbuka, SK St. John, Medong.


Bersama Pegawai Daerah Dalat, Encik Yussibnosh Balo,
Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah, Encik Khalid Hamid,
Pemanca Henry Eli dan Penghulu Gregory Buji


Majlis penyerahan balik anak angkat

Menanam pokok tanda kenangan oleh para peserta
- menabur budi, meyemai bakti


Gambar kenangan bersama peserta

Semoga Program berkenaan dapat mewujudkan sumber tenaga manusia yang sentiasa boleh diperbaharui! Biar hujan datang mencurah, biar panas datang membara, namun kita tetap bersedia menghadapinya.

Friday, May 15, 2009

Pertandingan Bolasepak 9-Sebelah Veteran MAKSAK Sarawak 2009 (Kemaskini - Keputusan)

CABARAN MUKAH

Pasukan Bolasepak 9-Sebelah Veteran MAKSAK Bahagian Mukah akan menyertai Pertandingan Bolasepak 9-Sebelah Veteran MAKSAK Sarawak 2009 yang akan diadakan di Padang Kompleks Sukan Betong pada 16 - 17 Mei 2009.

Majlis penyerahan jersi pasukan telah diadakan di Pejabat Residen, Bahagian Mukah pada 15 Mei 2009, sebelum pasukan berkenaan berangkat ke Betong.

Majlis penyerahan jersi pasukan

Pemain-pemain yang mewakili MAKSAK Bahagian Mukah ialah :

1. Henry Anyie (JKR Mukah)
2. Taha Petrus (L&S Mukah)
3. Hassan Puih (LKIM Mukah)
4. Zainal Hamdan (Hospital Mukah)

5. Mohd. Salleh Abu Bakar (MDDM Mukah)
6. Salehee Nasir (LKIM Mukah)

7. Awang Razak Awang Wasli (MDDM MUkah)
8. Awang Sopian (Hospital Mukah)
9. Affendi Hanapi (PDK Balingian)
10. Nahari Madian (L&S Mukah)
11. Japar Razmi (MDDM Mukah)
12. Jamal Abdullah (SMK Mukah)
13. Jamalludin Rasit (Jabatan Hutan Dalat)

Selamat berjuang & semoga berjaya

Jadual perlawanan (peringkat kumpulan) yang melibatkan pasukan Mukah adalah seperti berikut :

16 Mei 2009 (Sabtu) @ 0800 - SIBU lwn MUKAH

16 Mei 2009 (Sabtu) @ 1100 - MUKAH lwn SRI AMAN


Peringkat Suku Akhir, Separuh Akhir dan Akhir akan dilangsungkan pada 17 Mei 2009.


Selamat Berjuang, Mukah

Kemaskini - Keputusan :

Peringkat Kumpulan

SIBU (1) - MUKAH (0)
MUKAH (3) - SRI AMAN (2)

Peringkat Suku Akhir

BETONG B (0) - MUKAH (1)

Peringkat Separuh Akhir

KAPIT (1) - MUKAH (2)

Peringkat Akhir

KUCHING (4) - MUKAH (1)

Tahniah Pasukan Mukah - Naib Juara Pertandingan Bolasepak 9 Sebelah Veteran MAKSAK Sarawak Peringkat Antara Bahagian 2009.

Menang kalah adalah lumrah pertandingan, namun komitmen yang sepenuhnya akan memberikan kepuasan yang hakiki.


Thursday, April 30, 2009

Bunga Gupa


Sekadar untuk mengakhiri April, saya tertarik dengan bunga 'gupa' (sejenis jambu yang sedang berbunga sekarang ini). Saya tidak pasti namanya dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris tetapi dalam dialek Melanau, ia akan menjadi buah 'gupa'.

Sengaja saya rakamkan bunga ini bagi mengingati Apak yang dikasihi kerana di bawah pokok inilah Apak sering duduk santai.... .

Tuesday, April 28, 2009

Kaul Mukah 2009 - Kenangan Untuk Apak

Kaul Mukah 2009 sudah berakhir pada 26 April yang lalu. Suasana meriah pesta sejak 18 April yang pastinya berlanjutan hingga ke hari terakhir Kaul tidak sempat saya alami sepenuhnya. Aktiviti 19 April hanya dapat saya ikuti pada sebelah pagi sahaja. Berita menyedihkan dari Kpg. Sg. Kut Muara - pemergian Apak yang dikasihi buat selama-lamanya jam 1.15 tengahari telah mengubah segala-galanya bagi saya. Hasrat untuk merakamkan sebanyak mungkin gambar kenangan Kaul telah bertukar menjadi kenangan yang tidak dapat saya gambarkan.

Namun apa yang sempat saya rakamkan perlu saya kongsikan.

Pertandingan Ayam Serama menarik perhatian ramai

Hanya jauhari yang mengenal manikam - mencari yang terbaik

Gaya 'seorang' juara

Peserta Safari Memancing kembali dengan hasil tangkapan

Pertandingan Menghias Akuarium untuk kanak-kanak sekolah

Salah satu acara Mr & Miss Jerd - makan ulat mulong hidup
(Fear Factor Kaul)


Sukan Rakyat - menyumpit, gaya mahu ada

Pertandingan Asin

Pertandingan Tarik Tali

Gerbang utama ke Tapak Pesta Kaul - unik

Satu kemestian - tibou

Kenangan untuk Apak
' Bagaikan cahaya di puncak sebuah gerbang kehidupan '