Showing posts with label Matu. Show all posts
Showing posts with label Matu. Show all posts

Wednesday, March 25, 2009

Beca Pak Haji Sa'ad (Terkini)

Tidak gah, tiada hiasan, namun istemewa. Itulah beca Pak Haji Sa'ad, satu-satunya beca yang masih beroperasi di Pekan Matu. Menurut rakan-rakan sepejabat, terdapat sebuah lagi beca di Pekan Matu tetapi sudah berada di 'hujung jalan'. Jadi tinggallah beca Pak Haji Sa'ad, setia menyediakan perkhidmatan sekadar yang termampu. Warga emas yang tidak berupaya untuk berjalan jauh, tong-tong gas merupakan pelanggan setia beca Pak Haji Sa'ad.

Hari ini kebetulan beca Pak Haji Sa'ad 'berlabuh' di perkarangan Pejabat Daerah Matu namun Pak Haji Sa'ad sendiri tidak kelihatan. Jadi saya rakamkan saja beca tanpa tuannya.

Dan petang tadi, beca Pak Haji Sa'ad kelihatan di perkarangan Pekan Matu. Pak Haji Sa'ad pula sedang berehat dari kepanasan matahari di Medan Selera Matu.

Beca Pak Haji Sa'ad - lambang ketekunan manusia yang mahu terus relevan dengan masa.

Kemaskini.

Hari ini, 7 April - saya terserempak dengan Pak Haji Sa'ad bersama beca dan penumpang setianya. Mengayuh beca dengan penuh semangat untuk menghantar penumpangnya ke kampung berdekatan. Sempat bersalaman dengan Pak Haji Sa'ad, beliau begitu mudah mesra - satu kemestian dalam khidmat becanya kepada masyarakat setempat.

Selamat maju jaya, Pak Haji Sa'ad.


Saturday, March 21, 2009

Medan Selera Matu

Pekan Matu mungkin tidak sehebat 'abang-abangnya' yang lain di Sarawak tetapi bagi anda yang gemar makan santai di gerai terbuka, Medan Selera Matu merupakan destinasi terbaik. Dibuka seawal 7.30 pagi, gerai-gerai ini menyediakan beraneka juadah untuk sarapan.

Nasi ayam dari pelbagai masakan pula disediakan untuk juadah tengah hari dan seterusnya ke malam untuk santai bersama udara malam yang menyegarkan.

Medan Selera Matu - menjamu selera sambil bersantai di Tebingan Matu, menyegarkan .....

Thursday, March 19, 2009

Membasmi Kemiskinan Melalui STF

Dimulakan pada bulan November 2008, projek pembasmian kemiskinan melalui program Sejahtera Task Force (STF) yang melibatkan 25 orang peserta di Kpg. Tian, Matu telah menampakkan perkembangan positif. Projek kendalian Jabatan Pertanian ini melibatkan penternakan ikan keli dalam sangkar, pembuatan kuih-muih serta latihan menjahit.

Bagi memastikan kejayaannya, YB Datin Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri dan Menteri Muda Pertanian yang juga ADUN N.50 Dalat telah melawat untuk meninjau sendiri projek berkenaan pada 17 Mac yang lalu. Gembira dengan perkembangan yang menggalakkan, beliau menasihatkan para peserta agar terus berusaha untuk mempertingkatkan kemahiran untuk memperbaiki taraf hidup keluarga mereka melalui projek yang dilaksanakan.

YB Datin Hajah Fatimah disambut oleh para peserta

Sempena lawatan berkenaan juga, YB Datin Fatimah telah memperkenalkan 'Nasi Kombo Ikan Keli' yang merupakan hasil daripada ternakan ikan keli oleh peserta program. Beliau menyeru para peserta untuk mempromosikan produk ini pada pesta dan keramaian-keramaian yang bakal diadakan di sekitar Bahagian Mukah. Bagi penggemar masakan ikan keli, nasi kombo ikan keli yang disediakan dalam pelbagai masakan tradisional Matu merupakan hidangan yang mesti dinikmati.

Antara masakan yang disediakan untuk Nasi Kombo Ikan Keli


Cadangan hidangan oleh YB Datin

Inilah dia .... Nasi Kombo Ikan Keli Kpg. Tian, Matu

Sebelum mengakhiri lawatan beliau, YB Datin Fatimah turut melawat pameran projek serta beberapa sangkar ikan keli di sekitar Kpg. Tian.


Antara tetamu yang turut hadir pada lawatan berkenaan ialah YB Encik Abu Seman b. Jahwie, ADUN N.38 Jemoreng, Ketua Jabatan serta Ketua Masyarakat tempatan.

Thursday, March 12, 2009

Matu ke Sibu via Daro

Hari ini merupakan pengalaman pertama saya pergi ke Sibu dari Matu melalui Daro menggunakan bot ekspres. Perjalanan darat dari Matu ke Daro yang memakan masa selama 15 minit sudah rutin bagi saya kerana itulah juga jalan yang saya lalui untuk balik ke Sri Aman melalui Sarikei.

Namun hari ini, haluannya adalah Sibu untuk tugas rasmi. Bot ekspres dari Daro berangkat tepat jam 12.30 tengahari, dengan penumpang yang separuh penuh. Gah dengan nama Begawan Laju, bot ekspres ini mungkin pernah 'berkhidmat' di Brunei.

Bahagian dalamnya masih elok walaupun kelihatan agak 'berusia'. Maklumlah era kegemilangan bot ekspres di Sarawak adalah sekitar tahun 80'an sebelum diambilalih oleh botlaju di kebanyakan destinasi. Walaupun demikian, bot ekspres masih merupakan pengangkutan utama bagi penduduk sekitar Daerah Matu dan Daro untuk ke Sarikei ataupun Sibu.

Aspek keselamatan turut diberi perhatian oleh pihak operator bot. Deretan jaket keselamatan jelas tergantung di sepanjang kabin. Begitulah seeloknya, biar nampak 'berusia' tetapi lengkap dari segi keperluan diri - dimasa senang dan juga dimasa susah!

Bandar Sibu mula kelihatan 2 jam setengah kemudian. Kira-kira jam 3 petang, Begawan Laju berlabuh di antara 'rakan-rakannya' di pengkalan Sibu. Satu perjalanan yang diselang seli dengan tidur-tidur ayam.

Unik, bangunan tua pek kong di tebingan Sibu ialah yang paling menyerlah bagi pengunjung yang menggunakan bot ekspres ataupun botlaju.

Setelah selesai dengan urusan penginapan dan mengisi perut, tidak lengkap perjalanan di Sibu kalau tidak mengunjungi Pasar Malamnya yang sentiasa dipenuhi pengunjung. Pelbagai barang, pakaian dan juadah disediakan seawal jam 6 petang. Pasar Malam ini, yang sudah wujud sejak sekian lama menggambarkan satu tekad dan ketekunan manusia untuk terus berusaha.

Dalam saya memberi perhatian kepada catatan ini, irama muzik dari Bamboo House Lounge di tingkat atas seolah-olah mahu mengalih tumpuan saya. Tetapi tugas perlu bermula seawal jam 8 pagi esok, jadi biarlah muzik itu menjadi hiburan telinga sahaja kerana mata perlu berehat untuk hari yang baru.

Selamat malam ...

Tuesday, March 10, 2009

Matu???

Bertemu rakan-rakan lama di hujung minggu pasti menyeronokkan. Bertanya khabar sambil bertukar cerita, cerita baru, cerita lama, cerita panas. Bagi rakan-rakan lama di Bandar Sri Aman, soalannya pasti saja 'di mana lama tak kelihatan?'. Bila saya sebut Matu, responsnya ialah 'Matu???, Matu Daro???' Nama Matu masih agak asing rupanya bagi rakan-rakan di luar lingkaran zon tengah Sarawak. Mungkin masih kurang maklumat mengenai Matu atau mungkin juga masih dibayangi 'abangnya' Daro.

Lantas gerakbalas spontan naluri saya ialah 'tidak mengapa, inilah peluang saya untuk memperkenalkan Matu'. Bagaikan satu penghormatan besar rasanya. Sebagai seorang 'adik' di antara daerah-daerah yang lebih dewasa di Sarawak, sememangnya nama Matu tidak segah nama 'abang-abangnya'. Namun dengan adanya laman web, blog serta kemudahan infrastruktur ICT yang baik, nama Matu pasti akan lebih dikenali. Rakan-rakan bloggers dari Matu juga boleh memainkan peranan masing-masing. Mungkin laman web Pejabat Daerah Matu di www.matudo.sarawak.gov.my boleh memberikan sedikit maklumat.