Wednesday, March 25, 2009

Beca Pak Haji Sa'ad (Terkini)

Tidak gah, tiada hiasan, namun istemewa. Itulah beca Pak Haji Sa'ad, satu-satunya beca yang masih beroperasi di Pekan Matu. Menurut rakan-rakan sepejabat, terdapat sebuah lagi beca di Pekan Matu tetapi sudah berada di 'hujung jalan'. Jadi tinggallah beca Pak Haji Sa'ad, setia menyediakan perkhidmatan sekadar yang termampu. Warga emas yang tidak berupaya untuk berjalan jauh, tong-tong gas merupakan pelanggan setia beca Pak Haji Sa'ad.

Hari ini kebetulan beca Pak Haji Sa'ad 'berlabuh' di perkarangan Pejabat Daerah Matu namun Pak Haji Sa'ad sendiri tidak kelihatan. Jadi saya rakamkan saja beca tanpa tuannya.

Dan petang tadi, beca Pak Haji Sa'ad kelihatan di perkarangan Pekan Matu. Pak Haji Sa'ad pula sedang berehat dari kepanasan matahari di Medan Selera Matu.

Beca Pak Haji Sa'ad - lambang ketekunan manusia yang mahu terus relevan dengan masa.

Kemaskini.

Hari ini, 7 April - saya terserempak dengan Pak Haji Sa'ad bersama beca dan penumpang setianya. Mengayuh beca dengan penuh semangat untuk menghantar penumpangnya ke kampung berdekatan. Sempat bersalaman dengan Pak Haji Sa'ad, beliau begitu mudah mesra - satu kemestian dalam khidmat becanya kepada masyarakat setempat.

Selamat maju jaya, Pak Haji Sa'ad.


Monday, March 23, 2009

Engkilili di Matu

Lubok Antu, pastinya menjadi sebutan ramai di Sarawak pada ketika ini. Mana tidaknya, pilihanraya kecil bagi kawasan N.29 Batang Ai akan diadakan tidak lama lagi. Panas dan masing-masing menyatakan keyakinan untuk menang. Dan yang menariknya ialah kedua-dua calon yang telah diumumkan datangnya dari Engkilili. Engkilili, satu nama yang sangat dekat dengan saya kerana pernah berkhidmat di Daerah Kecil berkenaan selama 5 tahun. Dan pilihanraya kecil yang bakal diadakan pasti akan menarik perhatian saya kerana kedua-dua calon yang telah diumumkan adalah kenalan saya.

Tetapi biarlah cerita pilihanraya diputuskan oleh pengundi yang bijaksana. Namun apa yang mahu saya kongsikan di sini ialah berkenaan pokok yang bernama 'engkilili'. Pokok engkilili merupakan asal-usul nama Pekan Engkilili dan kini masih banyak terdapat di Engkilili. Dan saya terkejut menemui pokok engkilili di Matu. Bagaikan kembalikan ke Pekan Engkilili.

Pertemuan saya dengan 'engkilili' ketika lawatan semasa banjir yang melanda Matu pada bulan Jan - Feb 2009 yang lalu.

Buah anggur Sarawak, pahit (kelat??) tetapi boleh dimakan ... khasiatnya, tak pasti. Mungkin ada yang lebih tahu, boleh kongsikan ...

Saturday, March 21, 2009

Medan Selera Matu

Pekan Matu mungkin tidak sehebat 'abang-abangnya' yang lain di Sarawak tetapi bagi anda yang gemar makan santai di gerai terbuka, Medan Selera Matu merupakan destinasi terbaik. Dibuka seawal 7.30 pagi, gerai-gerai ini menyediakan beraneka juadah untuk sarapan.

Nasi ayam dari pelbagai masakan pula disediakan untuk juadah tengah hari dan seterusnya ke malam untuk santai bersama udara malam yang menyegarkan.

Medan Selera Matu - menjamu selera sambil bersantai di Tebingan Matu, menyegarkan .....