Wednesday, July 15, 2009

'Treasure The MANGROVES'

Program Penanaman Pokok Bakau Dan Spesis-Spesis Yang Sesuai Di Persisiran Pantai Negara telah diadakan di Pantai Kampung Kuala Oya, Dalat pada 11 Julai 2009 yang lalu, melibatkan penduduk kampung dan pelajar-pelajar sekolah yang berdekatan. Program anjuran Jabatan Hutan Sarawak itu telah dirasmikan oleh Residen Bahagian Mukah, Tuan Haji Saudi bin Haji Narani.

Antara objektif program berkenaan ialah :

a) Menjadikan kawasan persisiran pantai supaya lebih stabil sebagai lapisan lindungan semulajadi dari ancaman ombak besar;

b) Mewujudkan satu kawasan "zon penampan" yang kukuh dan stabil untuk mengimbangi program-program pembangunan kawasan pantai; dan

c) Mewujudkan satu kawasan (ekosistem) persisiran pantai yang akan menjadi koridor habitat penting kepada kepelbagaian hidupan semulajadi.

Sebanyak 500 anak pokok rhu laut telah ditanam di sepanjang pantai Kampung Kuala Oya sempena majlis berkenaan. Di samping penanaman pokok, pihak penganjur telah turut mengadakan pertandingan melukis dan kuiz untuk pelajar-pelajar sekolah bagi mempertingkatkan kesedaran tentang program berkenaan, sesuai dengan slogannya 'Treasure The MANGROVES'.

Residen Bahagian Mukah, Tuan Hj Saudi (tengah) bersama Encik Abdul Kadir Bujang, wakil Pengarah Hutan Sarawak, Cr. Jezeri Kipli, Timbalan Walikota MDDM dan Ketua-Ketua Masyarakat setempat

Antara Ketua Jabatan dan jemputan yang hadir pada majlis berkenaan

Salah seorang wakil peserta menerima cenderamata daripada Tuan Hj Saudi

Program penanaman pokok dimulakan oleh Tuan Hj Saudi

Kawasan ini bakal dihiasi oleh pokok-pokok rhu yang akan mewujudkan suasana menarik untuk tujuan rekreasi

Para peserta bergambar beramai-ramai bersama
Residen Bahagian Mukah, Tuan Hj Saudi Hj Narani

Di samping usaha menghijaukan bumi, sempat mengeratkan hubungan persahabatan. Bersama Pegawai Daerah Dalat, Encik Yussibnosh Balo dan rakan-rakan lama dari Jabatan Hutan, Encik Abdul Kadir Bujang dan Encik Baleng Mos

Semoga pengalaman lalu akan menjadi pengajaran kepada kita untuk tidak mengulanginya di masa hadapan. Kita dianugerahkan sebuah bumi untuk dipusakai ke generasi seterusnya, maka bersama-samalah kita memeliharanya agar ia akan terus menjadi pusaka yang berharga.

Monday, June 29, 2009

Majlis Pelancaran Logo 'An Honour To Serve' & 'One Government At Your Service' Peringkat Bahagian Mukah

Majlis Pelancaran Logo 'An Honour To Serve' dan 'One Government At Your Service' Peringkat Bahagian Mukah telah diadakan pada 25 Jun 2009 yang lalu bertempat di Dewan Suarah Mesra Mukah. Upacara pelancaran kedua-dua logo berkenaan telah disempurnakan oleh YB Datin Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia & Latihan) dan Menteri Muda Pertanian (Ekonomi Rumahtangga & Latihan) yang juga ADUN N.50 Dalat.

Serentak dengan pelancaran logo berkenaan, beberapa agensi Kerajaan / Badan Berkanun telah turut membuka kaunter perkhidmatan di Dewan Suarah Mesra Mukah bagi memberikan perkhidmatan kepada para pengunjung yang datang ke majlis tersebut.

Antara tetamu yang hadir

YB Datin Hajah Fatimah menyempurnakan gimik pelancaran

Logo 'An Honour To Serve' & 'One Government At Your Service'
lambang kesetiaan penjawat awam Negeri Sarawak


Kumpulan Koir MAKSAK Mukah turut menyerikan majlis

Perkhidmatan pemeriksaan kesihatan turut disediakan.
YB Datin Hajah Fatimah tidak melepaskan peluang untuk memeriksa kesihatannya, penting untuk jadual tugasnya yang sentiasa padat.

Antara tetamu kenamaan yang turut hadir bersama YB Datin Hajah Fatimah ialah Tuan Hj. Sarudu bin Hj. Hoklai, Tuan Hj. Saudi bin Hj. Narani, Dr. Saadiah Abdul Samat dan Walikota Ali bin Suhaili

Semoga logo dan motto 'An Honour To Serve' dan 'One Government At Your Service' akan memberi semangat dan tekad baru kepada semua penjawat awam Negeri Sarawak ke arah tanggungjawab untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik.

Thursday, June 18, 2009

Kebakaran di Rh. Aleh, Sg. Bedengan, Mukah

Residen Bahagian Mukah, Tuan Hj. Saudi bin Hj. Narani telah melawat mangsa kebakaran di Rh. Aleh, Sg. Bedengan, Mukah pada 16 Jun 2009 yang lalu. Beliau turut disertai oleh Penolong Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Mukah, Encik Wong Yuk King.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 7.30 pagi 14 Jun itu telah memusnahkan sama sekali rumah panjang 5 pintu yang didiami oleh kira-kira 20 orang penduduk. Bantuan awal berupa keperluan asas harian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diberikan sementara bantuan bahan binaan pula sedang diuruskan. Buat masa ini, mangsa yang terlibat menumpang di rumah saudara-mara yang berdekatan.

Tuan Residen, Tuan Hj. Saudi (kanan) dan Encik Wong (kiri)
bersama TR Aleh di hadapan rumah yang terbakar

Musnah ...

Lori tangki air daripada Jabatan Kerja Raya Mukah menyediakan bekalan air bersih kepada mangsa memandangkan semua tangki simpanan di rumah panjang telah musnah

TR Aleh ak. Sandai mengalami sedikit kecederaan ketika cuba hendak menyelamatkan harta benda. Selain daripada itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan .

Memandangkan cuaca kering yang berpanjangan sekarang, semua pihak perlu lebih berhati-hati dalam aktiviti harian yang melibatkan api. Malang tidak berbau - Api ketika kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi lawan.