Saturday, June 13, 2009

Kaul Kpg. Sg. Kut Muara 2009

Kaul Kpg. Sg. Kut Muara 2009 telah diadakan pada 2 Jun yang lalu, dengan perarakan 'serarang' sebagai kemuncaknya. Beberapa aktiviti sampingan telah diadakan beberapa hari sebelumnya, termasuklah Pertandingan Karaoke, Pertandingan Sayuran Hidup, Menganyam Ketupat, Memancing, Bolasepak dan beberapa lagi.

Seawalnya jam 7.00 pagi pada 2 Jun, penduduk kampung mula berkumpul di Dewan Serba Guna Kpg. Sg. Kut Muara untuk acara jamuan dam hiburan.


Tepat jam 10.00 pagi, tiga buah 'serarang' yang ditempatkan di dewan berkenaan akan dibawa ke dalam sebuah bot untuk diarak sepanjang sungai (Sg. Kut) ke arah hujung kampung di bahagian hulunya.

Bot-bot lain yang dinaiki penduduk kampung akan mengiringi bot yang membawa 'serarang' secara berkumpulan.

Penglibatan penduduk dari semua peringkat umur, biarpun di bawah panas terik matahari.

Lokasi untuk 'serarang' pertama di hujung kampung, di bahagian hulu sungai. 'Serarang' akan didirikan di bawah sebatang pokok besar yang dipanggil pokok 'baper'. Baki dua 'serarang' akan diarak semula ke bahagian hilir di sepanjang Sg. Kut menuju ke lokasi kedua.

Lokasi untuk 'serarang' kedua ialah di bahagian muara Sg. Kut. 'Serarang' akan didirikan di bawah pokok 'baper' yang lebih kecil kerana pokok besar yang asal telah mati beberapa tahun yang lalu.

'Serarang' terakhir akan diarak ke bahagian hujung kampung di hilir Batang Igan.

Seperti dua 'serarang' terdahulu, 'serarang' ini juga didirikan di bawah pokok 'baper'.

Terdapat banyak pokok 'baper' di kawasan ini pada satu ketika dulu, namun keperluan pembangunan telah menyebabkannya ditebang.

Inilah 'persembahan' di setiap lokasi 'serarang' - untuk kesejahteraan semua.

Walau apapun caranya, kepada siapapun ianya dipinta, untuk apapun tujuannya - 'KITA' tetap mempunyai peranan masing-masing. Terus berusaha (untuk yang terbaik) dan kita akan mendapat yang terbaik.

Wednesday, May 27, 2009

Terima Kasih, Tuan Haji Abdullah Jamil & Dr. Anthony Valentine Laiseh

Seluruh warga kerja Pejabat Residen Bahagian Mukah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Tuan Haji Abdullah bin Jamil, Residen Bahagian Mukah yang akan berpindah tempat bertugas ke Rumah Perhubungan Sarawak, Kuala Lumpur sebagai Pegawai Perhubungan Negeri dan Timbalan Residen, Dr. Anthony Valentine Laiseh yang turut berpindah dan akan menjadi Timbalan Residen (Sosial) di Pejabat Residen Bahagian Betong.

Tuan Haji Abdullah (kiri) telah menjadi Residen Bahagian Mukah selama 3 tahun 2 bulan sementara Dr. Anthony telah menjadi Timbalan Residen Bahagian Mukah selama 4 tahun 4 bulan.

Ampun dan maaf dipohon atas segala perilaku bahasa dan cara yang mungkin keterlanjuran, namun tiada niat untuk bertindak sengaja atau berlaku derhaka terhadap ketua.

Selamat maju jaya, semoga Tuan Haji dan Tuan Dr. sekeluarga sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki selalu.

Indah budi jadi kenangan
Jadi kenangan padamu tuan
Mukah di hati dilupa jangan
Kami di sini rindu-rinduan

Monday, May 25, 2009

Selamat Datang, Tuan Haji Saudi

YBhg. Tuan Haji Saudi bin Haji Narani telah melapor diri sebagai Residen Bahagian Mukah yang baru pada 25 Mei 2009, menggantikan YBhg. Tuan Haji Abdullah bin Jamil yang akan berpindah ke Rumah Perhubungan Sarawak, Kuala Lumpur sebagai Pegawai Perhubungan Negeri Sarawak di sana.

Turut melapor diri pada hari yang sama ialah Timbalan Residen (Pembangunan) yang baru iaitu Encik Mohamad Junaidi bin Mohidin, yang sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Daerah Meradong.

Tuan Haji Saudi (baju cerah) dan Encik Mohd. Junaidi (dua dari kiri)
bersama Tuan Haji Abdullah semasa melapor diri

Tuan Haji Saudi dan Encik Mohd. Junaidi diperkenalkan
kepada warga kerja Pejabat Residen Bahagian Mukah


Selamat datang dan selamat bertugas di Bahagian Mukah kepada YBhg. Tuan Haji Saudi dan Encik Mohd. Junaidi.